KE'TIDAK PEDULISME' vs 'AMANAHMU'
Barah Individualistik, Bahana Ke'tidak pedulisme'
“Arrghh..ada aku kesah??”
“Lantaklah korang!!”
“Kubur lain-lain!”
“Tak nak la jaga tepi kain orang..”
Seringkali singgah di pendengaran kita ungkapan sebegini di kalangan masyarakat. Kata-kata yang berbaur ke’aku’an yang mengheret kepada sikap ke’tidak pedulisme’. Sikap ini berlegar di setiap peringkat umur, dari beberapa komuniti kecil yang bermula dari rumah, jiran, kampung sehingga menular ke setiap daerah, negeri dan seluruh penjuru dunia. Semuanya menjadi pandemik dalam kehidupan.
Usah terbang tinggi menilai masyarakat di Malaysia, lihat sahaja di persekitaran kita, kelompok yang dikatakan bakal pewaris anbiya’ hari ini pun dilihat semakin menerima pakai idea dan sikap ini. Masing-masing lebih ber’nafsu’ pada diri sendiri, manusia sekeliling dipandang sepi. Memecut laju marathon kehidupan, malah bangga meninggalkan teman yang jauh di belakang. Tanpa sedar, kita seperti memberi isyarat thumb’s up kepada philosopher barat yang menekankan bahawa sifat mementingkan diri sendiri ini adalah satu sifat terpuji!
Individualisme vs altruisme (ithar)
Individualisme merupakan satu falsafah yang mempunyai pandangan moral, politik atau sosial yang menekankan kemerdekaan manusia serta kepentingan bertanggungjawab dan kebebasan sendiri. Seorang individualis akan melanjutkan percapaian dan kehendak peribadi. Mereka menentang campur tangan luaran dari masyarakat, negara dan sebarang badan atau kumpulan ke atas pilihan peribadi mereka.
Oleh itu, individualisme menentang segala pendapat yang meletakkan matlamat sesuatu kumpulan adalah lebih penting dari matlamat seseorang individu. Falsafah ini juga kurang senang dengan segala standard moral yang dikenakan ke atas seseorang kerana peraturan-peraturan itu menghalang kebebasan seseorang. Ayn Rand (2 Februari 1905 - 6 Mac 1982) seorang tokoh Amerika Syarikat yang agak berpengaruh selepas Perang Dunia II, mempercayai bahawa:
“Setiap individu berhak hidup semata-mata untuk diri sendiri, tanpa mengorbankan diri untuk orang lain, atau mengorbankan orang lain untuk diri sendiri”.
Ahli-ahli falsafah yang menyokong ke'aku'an telah memperdebatkan bahawa altruisme ini hanya merendahkan maruah individu malah menyatakan kewajipan moral untuk membantu orang-orang lain sebenarnya tidak wujud. Ayn Rand memperdebatkan bahawa altruisme ini ialah pengorbanan nilai-nilai seseorang secara rela, dan merupakan kesusilaan yang songsang kerana menjadikan sikap mementingkan diri yang rasional sahaja dapat membenarkan seseorang mengejar nilai-nilai yang diperlukan untuk kehidupan.
Nah! tidakkah kita menyedari bahawa kita telah menerima falsafah mereka. ‘Hidup semata-mata untuk diri sendiri’. Tidak lagi menyahut seruan ‘fastabiqul khairat’ dalam diri. Tiada lagi pengamalan ‘ithar atau dalam bahasa falsafahnya; altruisme sesama sendiri.
Melihat dari skop kanta pembesar, jelas menunjukkan bahawa ke’tidak pedulisme’ merupakan bibit-bibit yang timbul dari sikap individualisme. Sikap yang serba sedikit akan mengikis nilai
kemasyarakatan di kalangan kita. Sedangkan Allah telah pun menyatakan konsep bermasyarakat di dalam Al-Quran iaitu konsep bantu-membantu sesama manusia.
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi sesetengah yang lain….”
[At-Taubah ; Ayat 7]
“Dan hendaklah kamu tolong-menolong kepada kebaikan dan taqwa, dan janganlah kamu tolong-menolong kepada dosa dan pemusuhan.”
[ Al-Maidah ; Ayat 2]
Maka, di disini jelas menunjukkan altruisme; mengutamakan orang lain ini merupakan perkara penting yang perlu menjadi tunjang bagi memastikan timbulnya bi’ah solehah di kalangan kita. Namun, mengapa pula setiap kali kita diminta untuk memberi khidmat, seringkali juga kita mengendahkannya berlapikkan alasan yang berbagai.
Tidakkah kita celik memandang permasalahan yang sering sahaja menjadi buah mulut di antara kita yang berkaitan kuantiti dan kualiti kerja kita? Butakah kita kerana sesungguhnya bukan sahaja kita tidak membantu dalam membuat kebaikan, malah menambah bebanan orang di sekeliling kita? Akibatnya, mereka terpaksa menanggung beban tanggungjawab yang sepatutnya berada di pundak kita.
Ke’tidak pedulisme’ vs ‘amanahmu’
Allah juga menjelaskan konsep bermasyarakat melalui konsep amar makruf nahi munkar ‘amanahmu’ agar kehidupan kita sentiasa dipandu,dikawal dan diawasi. Sebagaimana lampu isyarat di jalanan yang mengawal lalu-lintas kenderaan agar tidak berlaku kemalangan.
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi sesetengah yang lain,mereka menyuruh membuat kebaikan dan melarang daripada membuat kejahatan, dan mereka mendirikan solat, dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya, mereka itu akan di beri rahmat oleh Allah.”
[At-Taubah ; Ayat 7]
“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatandan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan"
[Al Hajj ; 41]
Bagaimana pula kita memahami frasa makruf dan mungkar ini? Perhatikan, sebenarnya kedua-dua frasa ini memiliki cakupan yang luas dan tidak hanya terbatas pada urusan ibadah saja, akan tetapi mencakupi urusan akidah, akhlak, ibadah, hak-hak manusia, ekonomi, militer, dan urusan budaya. Secara keseluruhan, dapat dikatakan bahwa makruf dan mungkar boleh digambarkan sebagai perbuatan mulia dan tercela.
Namun realitinya, sesetengah kita suka memandang negatif terhadap ‘amanahmu’ sehingga timbul istilah ‘jaga tepi kain orang’. Penulis tidak menyangkal bahawa istilah tersebut ada kesan negatif sekiranya tidak beralaskan ilmu dan iman. Namun, tidakkah kita melihat terdapat banyak persamaaan di antara istilah ini dan ‘amanahmu’ itu sendiri?.
Menjaga perihal orang lain adalah berkait rapat dengan sikap PEDULI seseorang terhadap individu lain. Begitu juga peduli, saling bertaut malah merupakan asas dan tunjang DAKWAH. Mana mungkin kesinambungan dakwah akan bergerak lancar tanpanya. Manakala dakwah, titik mulanya adalah ‘AMANAHMU’. Peduli + amanahmu = dakwah.
Sebagaimana pada ‘amanahmu’ kita di sarankan untuk mencegah individu lain dari melakukan sebarang kerosakan tanpa mengira perkaitan hubungan antara kita, begitu jugalah pada istilah ‘jaga tepi kain orang’ iaitu, jiran sesama jiran, sahabat sesama sahabat, rakan sekerja sesama mereka, sekalipun mereka adalah asing bagi kita. Yang penting adalah penerapan nilai peduli antara satu sama lain.
Bahana ke‘tidak pedulisme’
Melalui beberapa pengamatan, kestabilan sistem masyarakat dilihat semakin tidak seimbang kesan daripada sikap ke’tidak pedulisme’ ini. Buktinya adalah seperti di beberapa buah Negara sekular yang menjadikan modenisasi sebagai asas dan keutamaan. Menurut Adhyaksa Dault, bekas Menteri Pemuda dan Olahraga Republik Indonesia pernah menyebut di dalam ucapannya “Salah satu peyebab goyahnya struktur dan dasar negara Indonesia adalah akibat pola sebahagian masyarakat yang semakin individualis”.
Secara umumnya, kita boleh melihat beberapa kesan dari sikap ke’aku’an :-
1. Masyarakat semakin mengutamakan prestij dan kemewahan (materialistik). Berbeza dengan ajaran Nabi SAW yang menitik-beratkan soal taqwa dan iman.
2. Membangkitkan dunia persaingan (kompetitif), tidak lagi menjadikan saudara-mara, sahabat-sahabat dan jiran-jiran sebagai kelompok rujukan sebaliknya menjadi tempat untuk beradu kekuatan.
3. Tabiat negatif tidak lagi dilihat sebagai perkara mungkar yang harus disangkal, sebaliknya sudah menjadi perkara yang remeh untuk dipersoal.
4. Kekuatan jamaie akan semakin terhakis. Sedangkan Islam mementingkan kesatuaan jemaah, sebagaimana sabda Rasul SAW :
“Kekuatan Allah berada pada jamaah”
[Riwayat At-Tirmizi]
“Berjemaah itu rahmat, dan perpecahan itu azab”
[Riwayat Imam Ahmad bin Hanbal]
Justeru, bolehkah kita bayangkan, sekiranya ‘amanahmu’ tidak di jadikan pengamalan antara kita, masyarakat seolah-olah hilang ‘pengawal peribadi’ yang mampu mengawasi setiap derap langkah perjalanan di bumi. Sebagaimana sekolah tanpa kelompok pengawas, pusat perbankan tanpa pengawal keselamatan, institusi perfileman tanpa badan penapisan filem, kesemuanya tiada pengawal yang memastikan keseimbangan dan menghalang dari berlaku sebarang kecelaruan.
Secara tuntasnya, seikat lidi teramat sukar untuk dipatahkan, tetapi sebaliknya jika lidi nan sebatang, teramatlah mudah! Oleh itu, bersama berganding bahu demi menghidupkan ‘amanahmu’ dalam menyambut seruan ‘berkejar-kejarlah kalian dalam membuat kebaikan’.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Post a Comment